DARI MEJA TNCPI
Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Selamat Sejahtera,
Dalam bidang pendidikan tinggi, Malaysia sedang melaksanakan pelbagai transformasi dalam penyelidikan dan inovasi. Globalisasi telah membawa peningkatan mobiliti dan kerjasama, mengubah cara kita mengajar dan belajar. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia kini menghadapi dua cabaran, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan dalam masa yang sama perlu memastikan kelestarian kewangan. Selain itu, IPT juga dikehendaki menjalankan penyelidikan bertaraf dunia yang mempunyai impak yang signifikan terhadap masyarakat.
Ini menyebakan penyelidik perlu terlibat dalam penyelidikan multidisiplin untuk mencapai hasil yang lebih baik dan menyumbang kepada produktiviti negara. Keunggulan penyelidikan adalah penunjuk penting prestasi universiti, yang diukur secara berkala melalui sistem penarafan kebangsaan dan global. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan global dengan menonjolkan pencapaian melalui penemuan yang berkesan, penyelesaian inovatif, dan pengkomersialan produk penyelidikan.
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) memainkan peranan dalam membina bakat untuk mengatasi cabaran utama melalui penyelidikan multidisiplin dan translasi. Ini melibatkan pengumpulan kepakaran dari pelbagai fakulti ke platform kolaboratif dalam bidang khusus dan penubuhan kemudahan penyelidikan bersama dengan rakan luar. Strategi ini juga melibatkan perluasan rangkaian dan kerjasama dengan agensi swasta, industri, dan antarabangsa. Secara signifikan, usaha sedang dijalankan untuk menubuhkan skim pelaburan penyelidikan, teknologi, dan inovasi yang akan menyelaraskan proses pengkomersialan di semua peringkat.
Saya berharap maklumat yang diberikan dapat memberikan pemahaman menyeluruh kepada pengunjung dan kakitangan mengenai peranan, sumbangan, dan aspirasi pejabat ini dalam usahanya mencapai keunggulan penyelidikan dan inovasi.
Terima kasih.
Professor Dr. Suriani Abu Bakar
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)